:)

:)

Saturday 28 January 2012

Sultan Muhammad Al-Fateh, sumber inspirasiku.


Al-Fateh, adalah nama yang tidak asing lagi bagi kita. Sejarah pembukaan Kota Konstantinopel yang sangat hebat di tangan mereka yang Rasulullah s.a.w. sebutkan sebagai sebaik-baik panglima dan sebaik-baik tentera itu sentiasa segar dalam ingatan kita.
Nama Al-Fateh itu biasanya merujuk kepada seorang Sultan Muhammad, tetapi hakikatnya al-Fateh itu bukanlah seorang, tetapi ia adalah sekumpulan manusia. Merekalah yang terlibat dalam usaha melahirkan seorang Sultan Muhammad Al-Fateh, iaitu ayahnya dan guru-gurunya, yang terlibat dalam usaha membebaskan Konstantinopel iaitu tentera-tenteranya sehinggalah kepada Sultan Muhammad itu sendiri.
Merekalah Al-Fateh. Sekumpulan manusia yang kuat jiwa dan kuat juga usaha. Mereka adalah yang sentiasa menjaga kualiti iman mereka.
Lihatlah bagaimana Allah menundukkan dunia kepada mereka. Konstantinopel yang telah berkali-kali kebal daripada cubaan-cubaan serangan sebelum zaman mereka, akhirnya lumpuh di tangan mereka.
Sultan Muhammad Al-Fateh, berapakah umurnya ketika itu?
Semasa mula memegang takhta menggantikan ayahnya, beliau berumur 19 tahun. Hanya 2 tahun selepas itu, Konstantinopel telah berjaya ditawan di tangan mereka.
2 tahun, adalah suatu masa yang singkat. Tetapi, 2 tahun itu diguna dengan penuh manfaat. Tidak pernah jemu dan kenal erti penat kerana mereka adalah yang memiliki visi akhirat.

YANG MEMILIKI VISI AKHIRAT ADALAH YANG MENCARI SEBAB UNTUK MENJADI KUAT
Mendengar kisah begini, nanti ada yang akan berkata:
“Alah, bolehlah. Mereka tu kan Rasulullah dah janjikan macam tu.”
“Sultan Muhammad tu anak khalifah. Senanglah nak tawan Konstantinopel sebab dia dah jadi sultan. Kita ni, dahlah takde apa-apa. Kedudukan pun tak ada, harta pun cukup-cukup je.  Jangan mimpilah.”
Yang beralasan begitu, tidakkah mereka memerhatikan kesungguhan Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya dalam mengejar janji Rasul s.a.w. itu?
Dan tidakkah kalian melihat juga bahawa kalau Sultan Muhammad itu cuma berjuang seorang, tanpa tenteranya di sisi, pastinya tidak akan mampu membuah apa-apa. Tentera-tenteranya juga adalah Al-Fateh, yang menjadi sendi utama pembukaan Kota Konstantinopel.
Mereka bukan sahaja bersungguh-sungguh dalam melaksanakan strategi, tetapi mereka sangat teliti dalam menjaga hubungan hati mereka dengan Allah. Mereka mencari sebab untuk menjadi kuat.
Dan, hubungan dengan Allah itu yang menjadikan mereka benar-benar kuat.
Hari ini, berapa ramaikah pemimpin yang benar-benar menjaga hubungan mereka dengan Allah?
Tidak ramai. Hakikatnya, bukan senang bagi seseorang yang sudah memiliki kedudukan yang tinggi, harta yang banyak untuk menundukkan hatinya dengan sebenar-benar ketundukan kepada Allah.
Tetapi, mereka mampu kerana mereka adalah yang benar-benar menggerakkan keimanan. Lantas itu, Allah menganugerahkan kota itu sebagai tanda kemenangan. Bukan kemenangan zahir semata-mata, tetapi kemenangan iman.

MEREKA ADALAH YANG MEGGERAKKAN KEIMANAN
Mereka adalah yang sentiasa menjaga iman mereka. Turun naik sentiasa diperhatikan. Kalau turun, cepat-cepat mereka berusaha untuk memulihkan. Bila naik, dipastikannya berterusan.
Takhta dan kedudukan, bukan itu dahulu yang menjadi rebutan. Apalagi harta kekayaan, memang tidak pernah mereka harapkan.
Yang menjadi igauan mereka adalah menembus syurga idaman.
Pada solat Jumaat yang pertama kali ingin didirikan di Kota Konstantinopel itu, Sultan Muhammad Al-Fateh bangun untuk memilih imam bagi solat tersebut. Yang dinilainya bukan siapa yang paling tinggi kedudukan dalam tenteranya. Bukan jeneral, bukan mejar, bukan leftenan yang dipilihnya.
Bukan juga yang dipilihnya yang paling kaya di kalangan tenteranya. Bukan juga yang paling sedap bacaannya dipilihnya untuk mengimami solat itu.
Tetapi, penilaiannya adalah pada solat. Soalan pertama yang ditanya pada tenteranya adalah solat fardhu. Bila ditanya, ternyata tidak ada yang pernah meninggalkannya sejak baligh.
Soalan kedua berkaitan solat sunat rawatib. Duduk sebahagian tenteranya menandakan mereka pernah meninggalkannya.
Hinggalah kepada soalan ketiga iaitu solat sunat tahajjud. Maka duduk habislah kesemua tenteranya kecuali beliau. Maka, ternyata beliau adalah yang tidak pernah meninggalkan ketiga-tiganya sejak baligh hinggalah saat itu.
Memang benarlah hadis Rasul s.a.w. bahawa beliau adalah sebaik-baik panglima. Beliau tidak pernah meninggalkan bekalan-bekalan kekuatannya meskipun sibuk dengan tugasan sebagai seorang khalifah. Bahkan, tentera-tenteranya juga sangat menjaga ibadah mereka.
Itulah yang membentuk kekuatan jiwa mereka. Lantas itu, mereka tidak pernah ada rasa mengalah walaupun telah berhari-hari menyerang Kota Konstantinopel sehingga seolah-olah tidak nampak ada tanda-tanda untuk menang pun.
Himmah mereka yang jauh lebih tinggi menyebabkan rasa mengalah itu telah kalah untuk mengikuti jiwa-jiwa mereka.

MEREKA TIDAK TINGGALKAN SEKADAR MERANCANG
Mereka menjadi hebat kerana mereka membumikan segala perancangan dalam kehidupan. Mereka tidak tinggalkan hanya sekadar merancang.
Ada orang bila merancang, begitu gah dan hebat sekali. Tetapi, bila tiba masa merealisasikan, perancangan hanya tinggal sekadar perancangan.
Ada orang merancang, tetapi perancangannya tidak mampu dicapai kerana tidak realistik.
Tetapi lihatlah pada generasi Al-Fateh. Perancangan itu telah bermula sejak berabad lamanya sehinggalah ke zaman Sultan Muhammad II. Perancangan itu bermula daripada ayahnya lagi. Lihatlah bagaimana ayahnya, Sultan Murad II sangat menekankan pendidikan yang syumul (menyeluruh) kepada beliau.
Tidak hanya diberi kemahiran-kemahiran dunia, tetapi diajar juga seni-seni akhirat sana.
Kesannya, Sultan Muhammad membesar dengan cita-cita yang besar. Beliau telah menjadi orang yang merealisasikan sabda Rasul s.a.w.
Beliau membesar dalam keadaan menjaga hak dunia dan akhiratnya. Bahkan, tentera-tenteranya juga adalah yang menjaga dunia dan akhirat mereka.
Beliau dengan pelbagai perancangan dan strategi telah berjaya menembusi Kota Konstantinopel. Usaha-usaha mereka itu luar biasa sekali. Mana mungkin orang pernah terfikir untuk mengangkat kapal merentasi bukit hanya dalam satu malam semata-mata untuk menempuh selat yang tekah dihalang dengan rantai besi itu. Tetapi, itulah kedahsyatan iman Sultan Muhammad dan tentera-tenteranya.

PENUTUP : ANJAKLAH DIRI SETINGGI MEREKA
Kalau Sultan Muhammad yang kecilnya dahulu adalah anak yang degil, tetapi mampu membesar menjadi seorang pemimpin yang hebat, kita kenapa tidak?
Cuma yang tinggal pada sekarang kita hanyalah usaha.
Usaha membaiki diri.
Usaha menambah kemahiran-kemahiran pada diri.
Usaha untuk disiplin dalam menjaga kualiti ibadah.
Usaha untuk memelihara hubungan dengan Allah.
Kita tahu, tetapi belum menterjemahkan semua yang kita TAHU itu kepada MAHU.
Yang mahukan syurga adalah yang benar-benar berusaha. Bagaimana berusaha, maka lihatlah pada generasi Al-Fateh itu.
Bukan disuruh mengangkat kapal merentasi bukit. Tidak. Bukan itu yang perlu kita lakukan.
Bukan juga disuruh pergi menawan satu lagi kota. Tidak. Bukan itu juga.
Tetapi, berusahalah sehingga tahap kesungguhan yang begitu. Barulah mampu untuk kita menjadi seperti mereka.
Anjaklah diri menjadi setinggi mereka, barulah layak bermimpikan syurga !!
-copy paste from www.langitilahi.com,, sekadar ingin menyebar luas kan lg karya ini yg bg sy sgt bermanfaat..


No comments:

Post a Comment